HomeUtamaFahmi Reza Dicari: Lebih 30 Laporan Polis, Kes Hasutan

Fahmi Reza Dicari: Lebih 30 Laporan Polis, Kes Hasutan

Read Time:1 Minute, 28 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah sedang giat mencari individu berpengaruh media sosial, Fahmi Reza, atas dakwaan menghasut dan mengganggu ketenteraman awam melalui beberapa hantaran di media sosial.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata setakat ini lebih daripada 30 laporan polis telah diterima berkaitan dengan individu tersebut, dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Hasutan.

“Kita telah mencari dia (Fahmi) untuk dia bertanggungjawab atas perbuatannya serta memastikan bahawa pihak polis dapat meneruskan siasatan ke atas kes berkenaan.

“Usaha pencarian masih diteruskan dan pihak polis percaya Fahmi masih berada di Sabah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Jauteh menggesa individu tersebut untuk tampil secara sukarela bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terprovokasi dengan situasi tersebut.

Jauteh juga memaklumkan bahawa beberapa poster hasil karya Fahmi Reza yang didakwa menghasut dan menghina Tuan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman ditampal di beberapa lokasi Kota Kinabalu telah diturunkan sebagai sebahagian daripada siasatan.

“Semua bukti berkaitan telah dirakam untuk tindakan lanjut,” tegas Jauteh.

Sementara itu, sebagai persiapan untuk Karnival Ambang Tahun Baru esok malam (31 Dis), beberapa jalan utama di sekitar Kota Kinabalu akan ditutup.

Jauteh menjangkakan kira-kira 20,000 orang akan menghadiri acara tersebut, yang akan menyebabkan kesesakan jalan raya di pusat bandar.

“Orang ramai dinasihatkan untuk berkongsi kenderaan, datang lebih awal dan parkir di lokasi yang jauh dan berjalan kaki ke kawasan acara,” katanya.

Beliau berkata, lebih 800 anggota polis akan dikerahkan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran acara. Kawalan meliputi kawasan dari Tanjung Aru hingga ke Yayasan Sabah.

Katanya, beberapa sekatan jalan raya akan diadakan bagi mengawal orang ramai dan memastikan keselamatan sepanjang program berlangsung.

“Kerjasama daripada semua pihak diperlukan untuk memastikan keamanan dan kelancaran program tersebut,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Papar Bergema: Festival Kompang Tarik Generasi Muda Perkasa Tradisi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular