Beaufort : Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu memainkan peranan bagi memastikan calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dapat menduduki peperiksaan dengan selamat terutama pada musim Monsun Timur Laut (MTL).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, ia termasuklah menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan agar persediaan awal dapat dilaksanakan khususnya di kawasan berisiko.
“Seperti yang kita sedia maklum, kawasan khususnya sekitar Gadong ini adalah kawasan perkampungan yang mempunyai penempatan di jajaran Sungai Padas dan inilah kawasan yang mudah mendapat limpahan air banjir.
“Justeru, PIBG perlu memainkan peranan termasuk bekerjasama dengan pihak berkaitan agar calon peperiksaan SPM dan STPM dapat menduduki peperiksaan tanpa halangan daripada bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Restu Ilmu dan Sentuhan Nurani Calon SPM dan STPM 2024 dan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong di sini hari ini.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan turut menyarankan agar calon terlibat ditempatkan diasrama atau di lokasi yang selamat bagi memudahkan mereka menduduki peperiksaan dengan lebih mudah.
“Mungkin juga kita mempunyai kekangan di asrama seperti tidak ada pembekal makanan dan sebagainya sebab masa cuti dan ini juga perlu dipikirkan oleh PIBG.
“Saya ingat tidak begitu ramai juga dan saya yakin ianya dapat dilakukan secara bijaksana dan kerjasama daripada PIBG itu sendiri dan ibu bapa,” katanya. – SABAH MEDIA