HomeUtamaPDRM Sabah tolak permohonan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah

PDRM Sabah tolak permohonan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak permohonan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah yang dirancang di lokasi Karnival Ria di hadapan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah atas faktor keselamatan dan ketidakpatuhan kepada syarat ditetapkan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Beliau menjelaskan, Karnival Ria anjuran Kerajaan Negeri yang dijadualkan berlangsung esok dijangka menarik ramai pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak, ibu bapa, dan warga emas. Namun, maklumat yang diperoleh menunjukkan terdapat beberapa kumpulan yang bercadang untuk mengadakan perhimpunan di lokasi sama.

“Langkah ini diambil bagi memastikan karnival berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Kami telah merancang langkah keselamatan untuk mengelakkan kejadian yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Datuk Jauteh turut memaklumkan tindakan yang diambil pihak polis, termasuk melaksanakan sekatan untuk menghalang kumpulan perhimpunan mendekati kawasan karnival.

Selain pemantauan ketat turut dilaksanakan, anggota polis akan ditempatkan di beberapa kawasan untuk memastikan tiada provokasi atau kejadian yang boleh mencetuskan kekacauan.

Menurut Jauteh, terdapat dua kumpulan utama yang dikenalpasti iaitu kumpulan pertama telah membatalkan perhimpunan selepas dimaklumkan bahawa permohonan mereka tidak lengkap. Manakala kumpulan kedua difahamkan terdiri daripada belia yang tidak bersetuju dengan kumpulan lain yang ingin menyuarakan pandangan secara tidak sah.

Dalam pada itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menafikan penglibatan mahasiswa mereka dan memaklumkan perhimpunan itu tidak melibatkan mana-mana entiti dalam universiti terbabit termasuk fakulti, akademi, pusat, institut serta warga UMS.

“UMS menyediakan landasan dan saluran untuk mahasiswa membincangkan isu semasa secara ilmiah dengan mengutamakan fakta serta wacana yang rasional dan beretika,” katanya

Sehubungan dengan itu, Jauteh menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan yang tidak mendapat kelulusan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyertai mana-mana perhimpunan yang tidak mendapat kelulusan.

“Kami menggalakkan individu atau kumpulan yang ingin menyuarakan pandangan agar menggunakan saluran rasmi yang disediakan, tanpa menjejaskan ketenteraman awam,” tambahnya.

Justeru, beliau berkata, pihak polis memberi jaminan bahawa Karnival Ria akan dipantau rapi supaya ia berlangsung dengan aman dan terkawal.

RELATED ARTICLES
Utama

Papar Bergema: Festival Kompang Tarik Generasi Muda Perkasa Tradisi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular