Kota Belud : Peruntukan sebanyak RM3 juta diperuntukkan Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada beberapa buah Parlimen di negeri ini bagi melaksanakan program pembangunan pendidikan Sabah selama setahun pada tahun depan.
YBR dalan satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan program itu adalah bagi menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan di mana Sabah merupakan negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.
Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan bagi meningkatkan mutu pendidikan di kalangan pelajar- pelajar yang kurang bernasib baik terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar.
“Bantuan ini akan melibatkan kumpulan individu dari kalangan asnaf dan B40 di kawasan Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat. Ia juga dijangka seramai lebih 65,000 pelajar akan menerima manfaat daripada inisiatif yang dijalankan ini,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Penyerahan replika cek Program Pembangunan Pendidikan Sabah Tahun 2025 telah disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud semasa Program Santuni Madani KUSKOP Bersama Komuniti Kota Belud, di sini, hari ini.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman, Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat, Khairul Na’im Arifin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
YBR akan terus memberi sokongan bagi meningkatkan pembangunan modal insan di Sabah khususnya dikalangan pelajar melalui bidang pendidikan.
Sepanjang tahun ini, YBR telah memperuntukan sebanyak RM20.4 juta bagi program pembangunan pendidikan dan pembangunan masyarakat di seluruh negara.
Melalui bantuan awal pengajian dan bantuan persekolahan sahaja, seramai 30,572 murid dan pelajar IPT serta 226 buah sekolah telah menerima manfaat daripada inisiatif ini. – SABAH MEDIA / FOTO YBR