Kota Kinabalu : Kerjasama baik antara Kerajaan negeri dan Persekutuan yang menunjukkan komitmen luar biasa dalam merangka dan melaksanakan pelbagai projek perlu dipuji.
Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, ia termasuklah pelaksanaan inisiatif yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
“Dengan penuh rasa terima kasih, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor Ketua Menteri Sabah bersama barisan Ahli Jemaah Menteri Negeri Sabah dalam membawa kemakmuran berterusan kepada negeri ini.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pemimpin-pemimpin masyarakat yang telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam memastikan kemajuan dan kesejahteraan komuniti serta negeri kita,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penghargaan sempena Majlis Makan Malam Penghargaan oleh Kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
Hadir sama isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag dan barisan ahli Kabinet negeri Sabah.
Tun Juhar berkata, pemimpin-pemimpin masyarakat juga merupakan penggerak utama dalam memastikan suara rakyat didengar dan keperluan mereka dipenuhi.
Beliau turut merakamkan pengharhaan kepada individu, organisasi atau pihak yang berkepentingan dalam membuat keputusan, dasar atau aktiviti yang dijalankan Kerajaan.
Dalam pada itu, Tun Juhar turut berpesan agar rakyat tidak boleh dipinggirkan dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil.
“Setiap hari rakyat perlu diberi perhatian kerana mereka adalah asas dan tunjang kepada segala pembangunan dan kejayaan yang dicapai.
“Setiap keputusan yang diambil, setiap dasar yang digubal, haruslah memberi fokus kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA