HomePendapatSabah Sebagai Permata Borneo: Pengalaman Luas, Pemikiran Berwawasan Musa Aman Resepi Kestabilan,...

Sabah Sebagai Permata Borneo: Pengalaman Luas, Pemikiran Berwawasan Musa Aman Resepi Kestabilan, Kemajuan Sabah

Read Time:4 Minute, 37 Second

Oleh Muhammad Iqbal

Borneo merupakan sebuah pulau yang terbesar di benua Asia yang merangkumi tiga buah negara iaitu Malaysia (Sabah dan Sarawak), Indonesia (Kalimantan) dan Brunei. Kepentingan strategik Borneo ini dapat dilihat apabila Indonesia telah menukar ibu kota negara mereka dari Jakarta ke Kalimantan yang terletak dalam kepulauan ini.

Perkembangan ini harus dilihat sebagai pemangkin kepada Malaysia dan Wilayah Sabah sendiri untuk terus membangunkan ekonomi Sabah dan seterusnya menjadi ‘Permata Borneo’ (Pearl of Borneo). Sabah boleh menjadi lebih baik atau sekurang-kurangnya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan ibu kota Indonesia.

Matlamat ini bukan mudah kerana untuk terus maju kehadapan, Sabah memerlukan seorang pemimpin yang luas pengalamannya bukan sahaja dalam pentadbiran dan politik Sabah, malah berpengetahuan tinggi dalam membangunkan ekonomi negeri dan rakyat Sabah.

Pada masa yang sama, negeri Sabah memerlukan seorang sosok yang berwawasan dan berpandangan jauh untuk meletakkan Sabah di landasan yang betul berserta hala tuju yang jelas.

Pemilihan Tepat

Maka, atas semangat dan keperluan ini pemilihan dan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 bermula 1 Januari 2025 merupakan satu keputusan tepat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Harus diingat, sebuah kerajaan datang dan pergi. Manakala, yang kekal adalah negara dan negeri itu sendiri. Yang Dipertua Negeri Sabah bukanlah jawatan semata-mata tetapi merupakan suatu institusi yang dijamin di dalam Perlembagaan Negeri Sabah yang mana akan meletakkan Musa sebagai Ketua Negeri bagi negeri Sabah.

Kedudukan Musa sebagai Ketua Negeri Sabah meletakkan beliau sebagai individu yang polos politik (apolitical atau ‘above politics’). Cadangan yang dipersembahkan dan seterusnya diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Musa merupakan satu keputusan pentadbiran yang berpandangan jauh bertepatan dengan keperluan jangka masa panjang negeri Sabah.

Bak kata pepatah, ‘Sudah terang lagi bersuluh’. Begitulah perumpamaan terhadap Musa jika kita bercakap soal pengalaman. Dalam 16 orang Ketua Menteri Sabah, beliau merupakan Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat dan menabur bakti kepada negeri dan rakyat negeri Sabah iaitu pada 2003-2018.

Tempoh 15 tahun bukanlah satu masa yang singkat dalam mentadbir sebuah negeri. Dalam tempoh itu, negeri Sabah telah pesat membangun hasil hala tuju yang jelas sejak permulaan.

Musa terkenal dengan tadbir urus yang cermat dan cekap apabila sejurus selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan Sabah, seawal 2001 lagi beliau telah memperkasa pengurusan sumber negeri Sabah dengan mengambil langkah-langkah pemulihan dengan mengkaji semula beberapa program penswastaan yang melibatkan dana awam.

Kajian semula ini bagi memberi penekanan kepada aspek perbelanjaan dana awam bijak dan telus bagi mengelak sebarang pembaziran dan ketirisan dengan cara rundingan semula perjanjian-perjanjian lama yang tidak seimbang yang tidak menguntungkan rakyat dan Kerajaan negeri Sabah pada masa itu.

Wawasan

Wawasan Musa yang sentiasa berpandangan jauh pula terbukti apabila selepas dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2003, beliau telah membangunkan dan melancarkan satu objektif jelas untuk Negeri Sabah iaitu Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah sebagai kerangka dan hala tuju pembangunan negeri.

Sejak awal lagi, antara sektor yang diberi tumpuan semasa Musa selaku Ketua Menteri adalah sektor pelancongan. Musa dengan kerjasama barisan Menteri Negeri Sabah, penjawat awam dan sokongan sektor swasta telah berjaya meletakkan Sabah di landasan yang tepat pada masa itu dan kesannya dirasai sehingga sekarang.

Bagi penduduk tempatan di Sabah terutamanya di Kota Kinabalu dan kawasan-kawasan pelancongan yang lain, pastinya destinasi tumpuan para pelancong seperti hotel penginapan dan pusat beli-belah tumbuh seperti ‘cendawan selepas hujan’ semasa era pemerintahan Musa.

Perkara ini adalah ‘serampang dua mata’ yang bukan sahaja meningkatkan peluang pekerjaan kepada anak jati negeri Sabah, malah membuka ruang pelaburan sekali gus meningkatkan ekonomi negeri setiap tahun.

Perkara ini dibuktikan dengan statisitik dan fakta terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia yang mengesahkan sektor pelancongan Sabah berkembang sebanyak 3 peratus dan menyediakan lebih 300 ribu peluang pekerjaan. Ini adalah hasil kesinambungan ‘batu asas’ dan landasan yang telah dilaksanakan sejak 2003 lagi.

Jika hendak disenaraikan kisah kejayaan dan pencapaian Negeri Sabah hasil jasa dan dasar-dasar Kerajaan Negeri pimpinan Musa dahulu, mungkin ianya perlu dibukukan untuk dijadikan kayu pengukur kepada semua pihak.

Namun, apa yang lebih penting sekarang adalah negeri Sabah memerlukan kestabilan politik dan kestabilan ekonomi untuk terus bergerak maju. Tiada siapa yang dapat menyangkal bahawa tempoh antara 2003 sehingga 2018 adalah merupakan satu tempoh yang paling stabil dari segi politik yang menjadikan Musa selaku Ketua Menteri yang paling lama menabur bakti kepada rakyat dan negeri Sabah.

Kestabilan Politik

Kestabilan politik itu membawa kepada kepesatan ekonomi negeri Sabah yang berjaya dihasilkan daripada dasar-dasar awam yang konsisten dan berjangka masa panjang menurut wawasan Musa yang berpandangan jauh. Sejarah telah membuktikan, tempoh masa sebelum dan selepas Musa menjadi Ketua Menteri Sabah, kestabilan politik negeri Sabah sedikit-sebanyak tergugat dan ini telah sedikit sebanyak merencatkan perkembangan ekonomi negeri Sabah melalui dasar-dasar yang berubah akibat kecelaruan politik dan seterusnya ke pentadbiran Kerajaan Negeri.

Maka, dalam usaha untuk mengembalikan Sabah ke zaman keemasan (golden age), pemilihan dan pelantikan Musa selaku Yang Dipertua Negeri Sabah adalah sangat tepat pada masanya berdasarkan pengalamannya yang luas.

Kini sebagai seorang negarawan, hemat Musa dalam tadbir urus berserta pendekatan diplomasi beliau dalam pengurusan amat ditagih sebagai Ketua Negeri. Tidak dilupakan, sosok yang juga berdarah Dusun ini juga wajar dijadikan simbol perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang etnik.

Tidak mustahil, Musa akan diangkat dan digelar sebagai ‘Bapa Kestabilan’ Negeri Sabah hasil daripada kejayaan-kejayaan sebelum ini, serta dalam usaha untuk memberi kestabilan kepada kepada politik, ekonomi dan sosial negeri Sabah bermula dan melangkaui 2025.

Lets make Sabah great again.

Sabah go beyond.


Artikel ini buat kali pertama terbit melalui Bernama dan diulang siar. Muhammad Iqbal merupakan AJK Komunikasi Persekutuan Alumni UiTM.

RELATED ARTICLES
Utama

Remaja 13 tahun lintas jalan, maut dirempuh kereta

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular