Oleh NORMIMIE DIUN
PAPAR: Festival Kompang 2025 Peringkat Parlimen Papar berlangsung meriah di Dewan Datuk Salleh Sulong pada malam Rabu dengan kehadiran lebih 2,000 warga setempat.
Program tahunan itu diadakan bersempena sambutan Tahun Baru 2025 dianjurkan oleh Pejabat Ahli Parlimen P175 Papar dengan kerjasama Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N29 Pantai Manis.
Acara yang turut disertai Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di perkarangan dewan itu dirasmikan oleh Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Roslie Ibrahim, yang mewakili Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan kompang dan seterusnya merasmikan majlis penutupan program berkenaan.
Beliau turut mengambil bahagian dalam persembahan kompang beramai-ramai sebagai simbolik penutupan acara.
Pengerusi Penganjur, Rahman Latip, yang juga PPM Kawasan N29 Pantai Manis turut hadir memeriahkan majlis.
Pertandingan kompang disertai tujuh kumpulan dan menyaksikan kumpulan Ijtihad As Shahabab dari Kampung Benoni, Dun Pantai Manis, dinobatkan sebagai juara, membawa pulang wang tunai RM1,000.
Manakala naib juara kumpulan As Sohabbah, Kg Surati, Dun Limbahau (RM700) dan tempat ketiga kumpulan Gema Warisan An Nur, Kg Nagapas, Dun Limbahau (RM500) dan sebanyak RM300 saguhati diberikan setiap kumpulan yang menyertai pertandingan itu.
Menurut Armizan, program itu bertujuan memperkasakan seni tradisi dan agama, terutama dalam kalangan generasi muda.
“Festival ini menjadi platform untuk meneruskan tradisi kompang agar kekal relevan dan diminati anak muda. Kita gabungkan elemen tradisional dengan paluan kreatif, sesuai dengan tuntutan zaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan program itu.
Beliau turut menekankan kepentingan kompang sebagai aktiviti yang sihat dan mampu mendekatkan generasi muda dengan masjid dan surau.
“Kompang bukan sekadar seni, tetapi ia turut membentuk jati diri, perpaduan dan semangat keagamaan dalam masyarakat kita,” tambahnya.
Festival yang diadakan kali kedua selepas penganjuran sulung tahun lalu itu membuktikan seni warisan seperti kompang mampu menyemarakkan budaya serta memperkukuhkan perpaduan komuniti.