PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menggesa semua pihak supaya mematuhi larangan penggunaan sebarang pernyataan, ungkapan, atau petunjuk “antiminyak sawit” dalam urusan perdagangan dan perniagaan di negara ini.
Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPK, Datuk Azman Adam, menegaskan perkara ini semasa Seminar Kesedaran Melibatkan Pelabelan Produk Bersifat Diskriminasi Terhadap Minyak Sawit yang berlangsung di Hotel Zenith, Putrajaya baru-baru ini.
Menurut kenyataan rasmi KPK, peraturan tersebut tertakluk di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) yang berkuat kuasa sejak 15 Mac 2022. Akta ini memperuntukkan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun bagi mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
“Ribuan pemeriksaan telah dijalankan oleh KPDN di seluruh negara, namun masih terdapat premis yang menjual produk berlabel DLPO (antiminyak sawit).
“Sepatutnya tempoh dua tahun sebagai tempoh bertenang sudah mencukupi untuk pihak terlibat mengeluarkan produk-produk DLPO secara sukarela daripada rak jualan,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak yang terlibat untuk menghentikan sepenuhnya pengimportan dan penjualan produk dengan label tersebut.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia disarankan agar lebih berhati-hati ketika membeli barangan di pasaran.
Sebarang aduan berkaitan boleh disalurkan melalui WhatsApp di 019-2794317 atau 019-848800, portal e-Aduan di http://eaduan.kpdn.gov.my, talian bebas tol 1-800-88-6800, atau aplikasi mudah alih Ez ADU KPDN.