Sandakan : Sebuah premis di Kampung Sim Sim di sini dikenakan tindakan selepas didapati tidak meletakkan tanda harga ke atas barangan yang dijual dalam satu pemeriksaan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan pagi tadi.
Pemeriksaan yang dijalankan sepasukan penguatkuasa KPDN Sandakan itu adalah hasil aduan pengguna yang dilakukan melalui Portal E-Aduan KPDN.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, hasil pemeriksaan di premis berkenaan mendapati peniaga gagal meletakkan tanda harga ke atas minuman berkarbonat pelbagai perisa bersaiz 330 mililiter (ml).
“Hasil pemeriksaan sebanyak 20 botol minuman berkarbonat pelbagai perisa saiz 330ml yang dipamerkan untuk dijual di premis perniagaan terbabit didapati tidak diletakkan tanda harga
“Satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 telah diambil dan peniaga tersebut dikompaun RM300,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azdy berkata, di bawah AKHAP 2011, jika sekiranya seseorang individu disabitkan kesalahan kerana gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual, ia boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM25,000.
“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RRM50,000 katanya.
Katanya, KPDN Sandakan menasihatkan para peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan terutamanya dari segi penandaan harga yang jelas dan tidak mengelirukan pengguna.
“KPDN Sandakan sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga dan pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran rasmi aduan yang disediakan,” katanya – SABAH MEDIA / FOTO KPDN SANDAKAN