Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah, melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), bakal menganjurkan Seminar Pemikiran Tun Datu Mustapha pada Mac 2025.
Seminar ini bertujuan memperingati jasa dan perjuangan Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun sebagai Bapa Kemerdekaan Sabah, di samping mendalami pemikiran beliau dalam bidang pendidikan, ekonomi, perpaduan, dan syiar agama.
Program yang pertama kali dianjurkan ini akan melibatkan kerjasama erat antara MUIS, JHEAINS, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Seminar ini juga dijangka menjadi platform penting untuk memperkenalkan pemikiran dan idea progresif Tun Mustapha kepada generasi muda, khususnya pelajar dan belia.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, seminar ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan legasi Tun Mustapha terus dihayati dan dijadikan panduan oleh masyarakat Sabah.
“Allahyarham Tun Mustapha bukan sahaja tokoh kemerdekaan, tetapi juga seorang pemimpin yang berpandangan jauh dalam membina asas pendidikan dan perpaduan untuk rakyat Sabah.
“Seminar ini diharapkan dapat memberi inspirasi dan manfaat kepada generasi masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Haul ke-30 Tahun Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun di Taman Memorial Tun Datu Mustapha di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Majlis Haul ke-30 tahun Allahyarham Tun Datu Mustapha, Arifin berkata di Memorial Park Tun Datu Mustapha, Putatan, diadakan hari ini untuk memperingati tokoh kemerdekaan Sabah yang meninggal dunia pada 2 Januari 1995.
Menurutnya, majlis ini telah dimulakan lima tahun lalu secara kecil-kecilan oleh Persatuan Alumni Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajjah Rahmah, sekolah yang diasaskan oleh Allahyarham Tun Mustapha dan dinamakan sempena isteri beliau, Toh Puan Hajjah Rahmah.
“Bermula tahun ini, majlis haul ini telah diambil alih oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui MUIS dan JHEAINS,” kata Mohd Arifin yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan Negeri Sabah.
Beliau menambah, program ini kini diselaraskan sebagai acara tahunan agensi agama negeri dengan kerjasama MUIS, JHEAINS, USIA, serta badan-badan agama lain, termasuk Pejabat Daerah Putatan.
“Dengan penyelarasan ini, kita berharap majlis ini dapat terus memperingati perjuangan Allahyarham Tun Mustapha sebagai tokoh yang memperjuangkan pendidikan, perpaduan, dan pembangunan agama di Sabah,” katanya.
Turut diadakan lawatan ke Galeri Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun yang terletak di kawasan Taman Memorial tersebut.
Allahyarham Tun Mustapha dikenang sebagai salah seorang pemimpin utama Sabah yang berjasa besar dalam memperjuangkan kemerdekaan dan memperkukuhkan asas pendidikan Islam di negeri ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Ir Shahelmey Yahya, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin, Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan Imam Masjid Negeri Sabah, Suhaidi Kuanting serta beberapa ahli keluarga Allahyarham Tun Mustapha.