KUALA LUMPUR — Mana-mana banduan yang bercadang untuk mendapatkan keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah mengemukakan permohonan tersebut untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat akan datang.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada 3 Januari 2025, dinyatakan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi ampun, menunda hukuman, atau meringankan hukuman bagi sebarang kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, memiliki kuasa tersebut berdasarkan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Yang di-Pertuan Agong juga berhak meremit, menggantung, atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut, yang dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan sendiri oleh Baginda,” menurut kenyataan tersebut.
“Oleh itu, mana-mana pihak yang ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat akan datang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Istana Negara turut meminta semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang termaktub.
Pada 6 Januari nanti, beberapa pihak dikatakan telah merancang untuk berkumpul di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya, bagi menunjukkan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tindakan itu susulan rasa tidak puas hati penyokong Najib, yang lebih dikenali dengan jolokan “Bossku,” berikutan dakwaan tentang pelaksanaan titah addendum oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Shah, yang didakwa telah disembunyikan oleh kerajaan.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sebelum ini dilaporkan bersetuju memberi pengurangan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Najib.
Dengan pengurangan separuh hukuman tersebut, Najib dijangka dibebaskan pada Ogos 2028, manakala jumlah denda yang perlu dibayar olehnya dikurangkan kepada RM50 juta.