SANDAKAN: Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun mengamuk dan mencederakan lima orang mangsa di sebuah restoran di Batu 3 di sini pada jam 9.11 pagi tadi.
Ketua Polis Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek, mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, suspek yang bersenjatakan parang dan tukul secara tiba-tiba menyerang pelanggan di restoran berkenaan.
“Lima mangsa yang cedera terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 34 hingga 63 tahun. Mereka telah dibawa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Fuad berkata, suspek yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Motif serangan masih dalam siasatan, dan pihak polis mengucapkan terima kasih atas kerjasama masyarakat dalam memberikan maklumat segera,” ujarnya.