Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Kontroversi mengenai pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah terus menjadi topik perbincangan utama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yang menolak cadangan agar jawatan tersebut disandang oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
PKR Sabah berpendapat bahawa UPKO masih baru dalam gabungan PH, dan keputusan akhir mengenai pelantikan ini akan ditentukan oleh Pengerusi PH Pusat.
Menurut Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Sazalye Donol Abdullah, perbezaan pendapat ini tidak menggambarkan krisis dalaman, tetapi sebahagian daripada proses biasa dalam gabungan politik.
“Tiada isu besar, hanya perbezaan pandangan. Semua menunggu keputusan di peringkat pusat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Kediaman Rasmi Sri Gaya di sini, petang tadi.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi PH Sabah, dan menyarankan sebarang perubahan hanya dilakukan dalam pemilihan dua tahun akan datang.
Ewon dipilih menggantikan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Datuk Seri Christina Liew pada pemilihan Pengerusi PH Sabah yang berlangsung di sini pada 1 Disember lalu.
Sementara itu, pertemuan antara beberapa pemimpin PKR Sabah dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, turut mencuri perhatian media.
Menurut Sazalye, pertemuan tersebut dilabel sebagai perjumpaan biasa sahaja untuk menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Hajiji, tanpa menyentuh isu-isu berkaitan Pilihan Raya Negeri atau peruntukan kerusi.
Antara yang hadir dalam pertemuan itu Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, Timbalan Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk Peto Galim, Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin dan beberapa Ahli Majlis Tertinggi PKR Sabah.