Beaufort : Pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah diyakini mampu untuk menarik lebih ramai pelabur-pelabur asing di Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, ia adalah berdasarkan pengalaman Tun Musa sebelum ini yang memimpin Sabah sebagai Ketua Menteri.
“Jika kita melihat latar belakang Tuan Yang Terutama Tun memang kita melihat banyak kerancakan kepada pembangunan. Pertama sekali kehadiran pelabur-pelabur daripada luar negara ke Sabah.
“Dengan adanya latar belakang Tuan Yang Terutama bukan sahaja mantan Ketua Menteri tapi juga beliau sebelumnya adalah ahli perniagaan yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menunaikan solat Jumaat di Masjid Akbar Khan Bingkul di sini semalam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pendekatan tersendiri Tun Musa juga mampu menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.
“Kita yakin banyak kawasan yang menarik yang berpotensi di negeri Sabah ini dapat dibangunkan oleh pelabur-pelabur yang datang daripada luar negara ke negeri Sabah.
“Jadi itulah harapan kita dengan adanya Tuan Yang Terutama kita yang baru ini akan mampu memacu lagi kemajuan dan juga ekonomi Sabah dan juga menstabilkan politik kita di Sabah.
“Kita yakin Tuan Yang Terutama akan berusaha sedaya upaya untuk menyatupadukan masyarakat ataupun rakyat di seluruh Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Ruslan berkata, beliau berharap agar pembangunan Sabah akan terus berjalan lancar sejajar dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memfokuskan bagi menoktahkan kemiskinan, miskin tegar dan miskin di Sabah. – SABAH MEDIA