Kota Kinabalu : Bekas pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin,23, yang sebelum ini pernah tular memanjat pokok bagi mendapatkan liputan internet berhasrat untuk berkhidmat di Sabah selepas tamat pengajian dalam bidang perubatan.
Gadis berasal dari Kampung Sapatalang Pitas itu kini sedang menjalani pengajian perubatan di Management and Science University (MSU), Shah Alam sejak 1 Oktober lalu.
Katanya, dia kini merupakan graduan Ijazah Sains Marin UMS dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.46.
“Pada 26 Disember lalu, saya menerima skrol ijazah pertama di DKP 19. Dari Asasi Sains pada tahun pertama saya ke Sains Marin untuk empat tahun berikutnya, ia merupakan perjalanan yang tidak dapat dilupakan.
“Lima tahun berlalu dalam sekelip mata, dan masih terasa saya berjaya melalui perjalanan yang luar biasa ini. Bab ini mungkin sudah berakhir, tetapi saya bercadang untuk kembali satu hari nanti, harap-harap apabila hospital UMS sudah siap dan beroperasi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini baru-baru ini.
Veveonah turut merakamkan penghargaan kepada keluarganya atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
“Ucapan terima kasih kepada pensyarah saya atas bimbingan dan dorongan mereka dan kepada Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) atas biasiswa yang membolehkan perkara ini berlaku,” katanya.
Terdahulu, kisah Veveonah memberikan impak positif apabila liputan internet di kawasan pedalaman kini semakin baik selepas video gadis memanjat pokok ini menjadi tular pada tahun 2020. – SABAH MEDIA