KOTA BELUD: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan akan menjadi milik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Usukan, Datuk Japlin Akim.
Beliau menegaskan, GRS merupakan gabungan paling layak untuk mewakili rakyat Usukan.
“Kita tidak akan berkompromi lagi. Ini adalah pendirian kita, dan kita akan memastikan Usukan menjadi milik GRS pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Solidariti Mendepani PRN-17 di Dewan Terbuka Datuk Japlin, Kota Belud kelmarin.
Japlin menambah, persiapan untuk menghadapi PRN telah dilakukan sepenuhnya.
“kita tidak akan berundur ke belakang lagi. Melalui wakil GRS, kami percaya keperluan rakyat di DUN Usukan dapat lebih dibela, di samping meningkatkan kemudahan di kawasan ini,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, mengkritik pentadbiran Parti Warisan yang disifatkan gagal semasa memerintah Sabah dari 2018 hingga 2020.
“Apa yang dilaksanakan oleh GRS hari ini sering dikaitkan sebagai usaha Warisan, tetapi hakikatnya mereka gagal menguruskan negeri dengan baik,” katanya.
Nizam turut memuji kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang dianggap membawa kestabilan politik dan pembangunan untuk rakyat Sabah.
Justeru, beliau menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan janji manis pembangkang dan terus memberikan mandat kepada kerajaan GRS.
Dalam majlis yang sama, Japlin menerima lima kerusi roda untuk masyarakat setempat, disumbangkan oleh Pengerusi Biro Kesihatan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Dr Davina Datuk Markus Majihi.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Ikrar, Azrul Ibrahim, ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Usukan, serta pemimpin-pemimpin komponen GRS dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Usukan.