KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva yang diparkir di tepi Jalan Bukit Temasu, Taman Sinar dekat sini, pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima melalui talian MERS 999 pada jam 10:03 pagi.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 10:11 pagi, kira-kira 8 minit selepas panggilan diterima.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kenderaan tersebut didapati terkunci dengan enjin masih hidup. Tindakan segera diambil menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kenderaan bagi memeriksa keadaan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Agustavia berkata, mangsa, seorang lelaki berusia 69 tahun, itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10:22 pagi setelah pemeriksaan memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.