Kota Kinabalu : Sebanyak 10 buah bot disumbangkan Centre Point Sabah (CPS) kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
Eksekutif Perhubungan Awam Centre Point Sabah, Meredith Madani berkata, sumbangan CPS itu adalah langkah besar dalam komitmen CPS terhadap kebajikan masyarakat.
Katanya, sumbangan itu sebagai sebahagian daripada inisiatif Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), iaitu Kempen ‘Save Our Society (S.O.S)-Boat Donation’.
“Bot-bot ini bertujuan meningkatkan usaha tindak balas kecemasan di kawasan mudah banjir seperti Penampang, Kota Marudu dan Beaufort.
“Isu banjir merupakan cabaran berulang bagi komuniti luar bandar di Sabah, sering kali menyebabkan penduduk terperangkap dan usaha menyelamat terhalang oleh masalah aksesibiliti.
“Bot-bot yang disumbangkan direka khas untuk melalui laluan air yang sempit dan cetek. Ia akan membolehkan anggota Bomba sampai ke kawasan yang terjejas dengan pantas dan berkesan, terutamanya di lokasi yang terpencil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semasa majlis penyerahan baru-baru ini, wakil daripada balai bomba di setiap daerah menyampaikan penghargaan mereka kepada CPS atas sumbangan yang bermakna itu.
Ketua Balai Bomba Beaufort, PPgB Mohamad Hasbulla Nenggok berkata, bot-bot ini akan memberikan impak besar dalam operasi.
“Saiznya yang kompak dan kebolehan pengoperasiannya membolehkan kami bertindak dengan pantas dan cekap, memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat semasa kecemasan,” katanya.
Dalam pada itu, Meredith berkata, sumbangan itu membuktikan dedikasi CPS dalam membina komuniti yang berdaya tahan melalui inisiatif strategik ESG.
Katanya, Kempen S.O.S Boat Donation ini mencerminkan pendekatan proaktif syarikat itu dalam menangani cabaran masyarakat sambil mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan utama.
Menurutnya, syarikat beli-belah itu sentiasa memberikan sokongan kepada masyarakat dan mahu memastikan masa depan mereka terjaga.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan JBPM bagi memastikan bot-bot ini membawa harapan dan bantuan kepada mereka yang paling terjejas ketika berlaku bencana alam,” katanya.
Untuk maklumat terkini mengenai kempen ESG oleh Centre Point Sabah, orang ramai digalakkan mengikuti platform media sosial rasmi Centre Point Sabah. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang aktiviti CSR Centre Point Sabah, sila hubungi: 088-246 900.