Kota Kinabalu : Masyarakat Tiong Hua dari beberapa buah daerah dan kawasan di negeri ini akan menerima Kepala Singa sempena Tahun Baru Cina 2025.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Penganjur Induk Majlis, Datuk Dr Roland Chia berkata, antara yang menerima adalah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Inanam, Menggatal dan Papar.
Katanya, majlis penyerahan kepala singa itu akan diadakan pada 9 Januari ini bermula jam 10 pagi bertempat di Dewan Hakka di sini.
“Saya amat berbesar hati dengan kehadiran Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun bagi merasmikan majlis ini.
“Majlis ini adalah anjuran bersama dengan Pejabat Ketua Menteri, Kementerian Kewangan, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas acara permulaan ini, daerah-daerah seperti Sandakan, Tawau, Beaufort, Sipitang, Lahad Datu, Tenom, Keningau, Ranau, Tuaran, Tamparuli, Kudat, Kota Marudu dan Labuan turut akan menerima Kepala Singa pada tarikh yang akan ditentukan kemudian oleh penganjur setempat.
Katanya, program Penyerahan Kepala Singa tahun 2025 merupakan tahun kelima dianjurkan.
“Program ini merupakan ilham Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada 2021 adalah bagi menghargai sumbangan masyarakat Tiong Hua di Sabah dari segi kebudayaan, pembangunan modal insan dan juga pemangkin ekonomi di Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA