Putrajaya : Tindakan menyembunyikan Titah Adendum dikatakan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah adalah satu penyalahhunaan kuasa.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, tindakan itu adalah kesalahan yang serius berikutan kedudukan tertinggi Tuanku Agong dalam sistem perundangan negara.
“Kita tidak tahu siapa yang bertanggungjawab. Mungkin ia tidak sampai ke tangan pihak sepatutnya.
“Saya percaya ini bukan kerja seorang tetapi ada beberapa orang yang menyebabkan Titah Adendum ini disembunyikan,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman Putrajaya.
Ia susulan keabsahan titah berkenaan yang dibuktikan melalui sepucuk surat bertarikh 4 Januari 2024 dikeluarkan Istana Pahang membuktikan titah itu benar-benar wujud.
Shafie, selain itu turut mempamerkan salinan asal surat yang berkenaan kepada pihak media.
Terdahulu ketika berhujah Shafie, memberitahu mahkamah bahawa Titah daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah ditujukan kepada Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Dalam hujahannya Peguam Kanan itu berkata, anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar mengetahui kewujudan dokumen titah bertarikh 29 Januari tahun lalu, pada 2 Disember tahun lalu melalui surat daripada istana di bawah arahan Al-Sultan Abdullah.
Muhamad Shafee berkata, pada 4 Januari lalu, Mohamad Nizar memberitahu beliau diperintah menghadap Sultan Pahang yang memaklumkan kewujudan salinan Titah Adendum dalam simpanan baginda.
“Keesokannya (5 Januari) beliau telah menerima salinan dokumen itu, yang merupakan rekod peribadi Sultan Pahang.
“Titah Adendum yang ditandatangani sendiri oleh Al-Sultan Abdullah wujud namun disembunyikan daripada umum,” katanya. – SABAH MEDIA