Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot penumpang disyaki ‘runner minyak’ yang membawa muatan bahan api jenis petrol tanpa sebarang permit di sini pada malam Sabtu lalu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya telah memintas sebuah bot penumpang yang bergerak laju dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.7 batu nautika selatan Batu Tiga,Tawau pada jam 9.55 malam pada hari kejadian.
Katanya, pemeriksaan ke atas bot penumpang yang dikendali seorang remaja lelaki tempatan berusia 24 tahun itu mendapati terdapat 10 gelen petrol anggaran 250 liter dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.
“Bot bersama juragan serta muatan tersebut seterusnya diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen JPDS 2002,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Shahrizan berkata, Zon Maritim Tawau telah melaksanakan 9,187 pemeriksaan vesel di laut dan merekodkan 108 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan khusus di Perairan Tawau bagi tahun lalu.
Katanya,pemeriksaan dan tangkapan itu adalah melibatkan jumlah nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM12.2 juta.
Menurutnya, statistik itu juga merupakan rekod tertinggi pernah dicatatkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Ujarnya lagi, kedudukan perairan Tawau yang berada di garisan persempadanan antara Malaysia dan Indonesia menjadi cabaran utama bagi melaksanakan penguatkuasaan.
Sementara itu, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan wujudnya ‘runner-runner’ yang menjalankan aktiviti membawa barang kawalan ini dalam kuantiti kecil namun secara berulang bagi menembusi pasaran di negara jiran, namun pihaknya akan terus mengekang sindiket penyeludupan ini bagi mengelakkan ketirisan barang kawalan.
Katanya, tahun lalu juga menyaksikan penurunan laporan bagi kes-kes CARILAMAT di daerah ini dengan hanya satu kes sahaja direkodkan.
“Ini membuktikan bahawa keberkesanan kepada kempen-kempen kesedaran keselamatan di laut yang diadakan kepada masyarakat setempat serta komuniti maritim di daerah ini.
“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.
Pihaknya turut meminta kerjasama orang awam terutamanya komuniti maritim bagi menyalurkan sebarang aduan salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian kecemasan 999. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA