HomeUtamaSabah tidak laksana takzir sebatan di khalayak ramai

Sabah tidak laksana takzir sebatan di khalayak ramai

Read Time:1 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Negeri tidak akan melaksanakan takzir sebatan secara terbuka di khalayak ramai seperti yang dilaksanakan di negeri Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ini kerana Sabah merupakan negeri yang unik dan terdiri daripada berbilang kaum dan agama, serta keharmonian agama, toleransi dan persefahaman  menjadi teras rakyat Sabah hidup secara aman dan harmoni.

“Kerajaan Negeri ingin memaklumkan bahawa kenyataan Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar di Bungsu merupakan pendapat dan pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili pendirian Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, pihaknya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa agama akan kekal dengan hukuman yang sedia ada terhadap kesalahan ‘Takzir’.

Katanya,  Takzir merupakan hukuman yang dijatuhkan atas kesalahan yang tidak dinyatakan bentuknya oleh syarak.

“Kita berpegang prinsip Fiqh Sabahi yang juga diperkenalkan oleh Mufti Sabah iaitu fiqh kebijaksanaan dan hikmah dalam pergaulan, menjalin hubungan dan bermasyarakat dan menjalankan nilai dakwah dan syiar Islamiah berdasarkan kehidupan pelbagai kaum dan agama di Sabah.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri berharap isu ini tidak terus dipolitikkan atau menjadi bahan perdebatan oleh mana-mana pihak, sehingga menimbulkan suasana yang kurang harmoni,” katanya.

Pelaksanaan hukuman sebat di Sabah adalah berlandaskan punca kuasa di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 2024 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 yang diselaraskan dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] yang menetapkan had hukuman syarie iaitu maksima hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun, hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit dan hukuman sebat tidak melebihi 6 kali sebatan.

Tatacara pelaksanaan hukuman sebat dinyatakan secara jelas dalam seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004, manakala perincian kaedah pelaksanaannya ada dinyatakan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada tahun 2021.

Bagi negeri Sabah, hukuman sebat syarie telah dilaksanakan sejak tahun 2011 lagi yang dibuat secara tertutup tanpa hebahan kepada media mahupun orang ramai bagi menjaga sensitiviti masyarakat. 

Hukuman sebat dijatuhkan oleh Hakim antara lain dengan mengambilkira permintaan daripada pesalah itu sendiri semasa proses mitigasi.SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Penemuan Bom Lama di Pulau Sibuan, Substesen Ditutup Sementara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular