Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Dalam usaha mendukung aspirasi Malaysia Madani seiring dengan agenda Sabah Maju Jaya, University College Sabah Foundation (UCSF) hari ini menganjurkan Seminar Kefahaman Malaysia Madani.
Program ini melibatkan kerjasama strategik antara UCSF, Yayasan Sabah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), serta beberapa agensi kerajaan yang diadakan di Dewan UCSF.
Seminar tersebut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pegawai awam, pelajar, dan wakil agensi kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, konsep Malaysia Madani bersifat inklusif dan universal, sejajar dengan visi Sabah Maju Jaya.
“Sabah, dengan keunikan dan keharmonian antara kaum, mampu menjadi model kepada konsep Madani di peringkat nasional,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan seminar tersebut.
Dr Zulkifli turut menekankan pentingnya penglibatan golongan belia dalam pelaksanaan agenda ini.
“Anak muda adalah aset penting negara, dan penyertaan mereka dalam pelbagai program akan menjadi pemangkin kepada masa depan Malaysia Madani,” tambahnya.
Dr. Zulkifli memuji kerjasama antara agensi agama di Sabah, termasuk Majlis Ugama Islam Negeri Sabah dan Jabatan Mufti Sabah, yang telah berjaya mencipta keseimbangan sosial sebagai inspirasi kepada negeri-negeri lain.
Beliau juga menegaskan perlunya pelaksanaan konsep Madani secara praktikal, bukan sekadar retorik.
“Sabah bersedia menjadi peneraju kepada Malaysia Madani yang nyata, membuktikan bahawa konsep ini dapat direalisasikan melalui tindakan konkrit,” ujar beliau lagi.
Majlis turut dihadiri Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris.