Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Du’at Al-Falah bersama Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalinkan kerjasama strategik bagi memperkukuhkan autoriti dakwah Islamiah, dalam usaha menangani salah faham agama akibat penyampaian individu tidak bertauliah.
Seminar Antarabangsa Du’at Al-Falah 2025, yang julung kali diadakan di Sabah hari ini, berjaya menarik penyertaan lebih 150 peserta dari Malaysia, Brunei, dan Indonesia.
Seramai 15 orang penyampai diskusi ilmiah terdiri daripada ustaz, pendakwah dan juga daripada profesional yang bertauliah terlibat menjayakan seminar ini.
Program ini memfokuskan kredibiliti dakwah dan penerapan nilai Madani dalam masyarakat, dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Pertubuhan Ikram Malaysia.
Pengerusi Du’at Al-Falah, Ustaz Ahmad Faiz Fatih Al-Azhari, menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah penting untuk memastikan dakwah disampaikan secara bertanggungjawab dan berasaskan ilmu.
“Usaha ini penting untuk menangani salah faham agama yang sering timbul akibat mesej yang disampaikan oleh individu tanpa pengetahuan mendalam, termasuk pempengaruh (influencer) media sosial.
“Dalam isu agama, kita tidak boleh membenarkan sesiapa sahaja berbicara tanpa asas ilmu yang kukuh. Justeru, seminar ini membincangkan isu-isu memastikan mesej dakwah disampaikan berlandaskan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian seminar tersebut.
Beliau turut menekankan bahawa fenomena individu tidak berautoriti yang berbicara isu agama secara sensasi boleh mencetuskan konflik serta salah faham dalam masyarakat.
Di Sabah, menurut Ahmad Faiz, penerapan nilai Madani dilakukan melalui pendekatan yang sesuai dengan realiti masyarakat tempatan.
“Sebentar tadi Mufti Sabah dalam pembentangannya menekankan bahawa pendekatan dakwah di Sabah lebih terbuka, yang menekankan keharmonian antara pelbagai kaum dan agama. Ini boleh menjadi model untuk Semenanjung,” katanya.
Beliau juga mengulas perbezaan pendekatan mazhab di Sabah, yang lebih menekankan silaturrahim antara Muslim dan bukan Muslim, berbanding pendekatan di Semenanjung yang lebih terikat kepada mazhab Syafi’i.
“Di Sabah, kita memilih pendekatan yang membawa kepada keharmonian. Ini adalah sesuatu yang kita di Semenanjung boleh pelajari untuk mengelakkan mensensasikan terhadap isu agama,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Seminar, Amir Huzaifah Hamzah, berkata seminar ini turut memberi perhatian kepada isu-isu sensitif seperti penggunaan kalimat Allah dan hubungan Muslim-bukan Muslim.
“Sabah mempunyai potensi besar menjadi contoh keharmonian agama yang boleh dicontohi di Semenanjung,” jelasnya.
Seminar ini dirasmikan oleh Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Harun Durabi, dengan kehadiran Penolong Naib Canselor (Strategik) UMS, Prof. Dr Mohammad Saffree Jeffree, yang mewakili Naib Canselor UMS.