Labuan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan Perindustrian Bukit Kalam pelupusan sampah Labuan di sini semalam.
KPDN dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan telah diubah suai dengan menambah tangki tambahan yang disembunyikan di bahagian belakang kenderaan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan sepasukan penguatkuasa mendapati kenderaan itu telah diubah suai dengan menambah tangki tambahan yang disembunyikan di bahagian belakang kenderaan yang mengandungi lebih kurang 300 liter minyak disyaki Diesel.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun yang merupakan pemandu kenderaan berkenaan ditahan dan diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran atau permit barang kawalan berhubung pemilikan barang kawalan tersebut,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan.
Menurut kenyataan itu lagi, semua barang kes terlibat disita untuk siasatan lanjut dan jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM30,645 – SABAH MEDIA / FOTO KPDN Labuan