Lahad Datu : Warga kerja Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) diseru untuk terus melaksanakan momentum kerja sebagai satu pasukan dalam suasana yang gembira dan bersemangat kental.
Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata, warga ESSCOM juga perlu terus kekal meningkatkan usaha berlandaskan dasar dan polisi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Selain itu, ia juga bagi membantu Kerajaan dalam mengekalkan keamanan melalui inisiatif keselamatan dan kesejahteraan yang mapan (mantap) bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan (sustainable) untuk Sabah terutamanya di kawasan ESS Zone.
“Mudah-mudahan Tahun 2025 ini dibugari dengan tekad dan keazaman yang ikhlas untuk kita semua dalam menjaga dan mengekalkan kedaulatan negara menerusi Fasa Pengukuhan Keselamatan di ESS Zone,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 sempena Majlis Perhimpunan ESSCOM 2025 kepada 140 warga kerja ESSCOM di sini baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali.
Victor berkata seruan tersebut adalah selaras dengan keazaman agar Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) kekal selamat dan kesejahteraan komunitinya sentiasa terjamin.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, agensi Penguatkuasaan dan semua pihak yang telah membantu dan menyokong usaha-usaha ESSCOM sepanjang tahun lalu sehingga banyak kejayaan luar biasa yang dilakarkan.
“Saya berharap agar sinergi kerjasama yang baik ini akan terus kekal dan diperkukuhkan lagi pada tahun ini kerana ESSCOM akan terus komited menjadi benteng utama dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta memelihara kedaulatan wilayah Sabah.
“Ini termasuklah melalui Operasi Sanggah, Operasi Bersepadu, GasakDarat dan Laut, dan Operasi Khas bagi mengekang pencerobohan dan jenayah rentas sempadan,” katanya.
Tambahnya sepanjang tahun lalu statistik keseluruhan Operasi Sanggah yang dikoordinaskan ESSCOM merekodkan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM24 juta dengan nilai rampasan tertinggi daripada penyeludupan rokok dan arak tidak bercukai serta barang kawalan dengan nilai RM18 juta.
“Selain itu, lebih 2.1 juta pemeriksaan fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot turut dilakukan dan daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 536 orang ditahan dan 227 buah kenderaan serta bot dirampas oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan, manakala 97 individu bersama-sama 44 buah bot telah diusir daripada sempadan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Jamaluddin bin Mohd. Ali ketika menyampaikan ucap tama dalam majlis yang sama menyatakan tiga fokus utama Bahagian Awam ESSCOM untuk tahun ini.
“Bagi meningkatkan keupayaan dalam memberi tindak balas yang pantas dan berkesan fokus pertama ialah memperkukuh kerjasama atau kolaborasi sama ada dalam pasukan ESSCOM sendiri mahupun dengan Jabatan dan agensi luar melalui kerjasama strategik.
“Fokus kedua pula ialah inovasi dan penambahbaikan kerana ancaman keselamatan yang dinamik mendorong kita menerima pakai teknologi baharu dan kekal selangkah ke hadapan.
“Fokus ketiga adalah yang paling utama iaitu memperkasa sesi libat urus bersama komuniti ESS Zone kerana tugasan di ESSCOM melangkaui operasi keselamatan dan bersangkut paut tentang mendapatkan kepercayaan serta sokongan komuniti ESS Zone.
“Justeru penting bagi kita untuk terus membina ukhuwah dengan komuniti ESS Zone supaya mereka berasa selamat dan disokong,” katanya lagi – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM