KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) belum membuat sebarang perbincangan atau keputusan rasmi mengenai cadangan untuk Parti Warisan menyertai gabungan itu.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, menegaskan bahawa cadangan tersebut hanyalah pandangan peribadi beberapa pemimpin tertentu dan tidak mencerminkan pendirian rasmi gabungan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kekeliruan dalam kalangan media dan penyokong GRS, terutamanya dari PBS, susulan kenyataan mengenai kemungkinan kerjasama itu.
Joniston yang juga Ketua Penerangan PBS menjelaskan, walaupun GRS menyambut baik idea menyatukan parti tempatan demi kepentingan Sabah, isu tersebut memerlukan proses yang jelas dan belum dibincangkan di peringkat kepimpinan.
“Ini adalah pandangan individu yang belum dibawa ke meja rundingan rasmi di GRS atau PBS. Kami menyeru semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan terburu-buru,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Cadangan itu timbul selepas Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, mendakwa GRS telah beberapa kali menolak tawaran kerjasama menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Sebagai respons, Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut, mencadangkan Warisan memohon untuk menyertai GRS dan Majlis Tertinggi gabungan itu akan membincangkan permohonan itu.
Christopher turut menekankan bahawa perpaduan parti tempatan akan memberikan manfaat kepada Sabah, asalkan semua pihak mengetepikan perbezaan demi kepentingan negeri.