Lahad Datu : Perkembangan kanak-kanak perlu terus dikembangkan dengan pelbagai potensi serta bakat dan tidak sewajarnya terhad dalam aspek pencapaian akademik semata-mata.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Rakyat Bahagian Silam Datuk Mizma Appehdullah berkata, tidak dinafikan, pencapaian dan kecemerlangan akademik sangat penting.
Namun katanya, membekalkan anak-anak mereka dengan sahsiah peribadi serta memberikan peluang kepada mereka menggilap potensi dan bakat terutama dalam bidang digemari amatlah digalakkan.
“Seperti kita lihat pada hari ini, anak-anak menonjolkan potensi dan bakat masing-masing. Sesungguhnya saya merasa kagum melihat kebolehan kanak-kanak Tabika KEMAS ini menampilkan aksi dan potensi diri dengan penuh keyakinan.
“Syabas dan tahniah kepada warga Tabika Kemas Batu 2 1/2 atas kecemerlangan yang telah dicapai. Saya harap agar semua dapat meneruskan usaha ini dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Hari Terbuka dan Hari Anugerah Kecemerlangan Tabika Kemas Batu 2 1/2 Sesi 2024-2025 di hotel My inn Lahad Datu di sini.
Mizma juga berasa amat bangga dan gembira kerana pada majlis itu bukan sahaja kanak-kanak Tabika yang kelihatan ceria, tetapi juga para ibu bapa yang datang semata-mata untuk bersama-sama meraikan dan menyaksikan kejayaan anak-anak masing-masing.
“Tahniah diucapkan kepada KEMAS kerana pada saban tahun berjaya menggilap bakat dan potensi kanak-kanak kita melalui penganjuran Hari Terbuka dan Hari Anugerah.
“Teruskan usaha ini, bimbing dan asuhlah anak-anak kita dengan penuh kasih sayang. Semoga usaha murni ini akan berkekalan serta mencapai objektif yang disasarkan. Inilah anak-anak yang akan menjadi pewaris bangsa dan negara pada masa akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA