Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menutup sementara Pasar Besar dan Pasar Ikan Kota Kinabalu pada Sabtu ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Program KK Cleanup Day 1.0.
Penutupan itu turut melibatkan kawasan tempat letak kereta Pasar Besar Kota Kinabalu, D’Walai Haruman, D’Walai Mata Biru, D’Walai Mutiara, D’Walai Suri dan D’Walai Cincin Anjung Kinabalu.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan itu akan bermula pada jam 8 pagi hingga jam 11 pagi.
“Kawasan-kawasan yang terlibat akan beroperasi seperti biasa sebaik kerja-kerja pembersihan dilaksanakan. DBKK mengucapkan terima kasih di atas kerjasama semua pihak,” menurut kenyataan itu di sini.
Dalam kenyataan berasingan DBKK berkata program itu merupakan kesinambungan daripada inisiatif kebersihan yang bermula sejak KK Cleanup Day diperkenalkan pada tahun 2021.
Menurutnya DBKK, menerusi program itu juga, DBKK telah berjaya melupuskan sebanyak 221 tan sampah dari kawasan kepulauan sepanjang tahun lalu.
“Sebagai persediaan awal program ini, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK telah mengadakan sesi taklimat dan lawatan tapak ke kampung-kampung yang terlibat di Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar.
“Sesi taklimat dan lawatan tapak ini bertujuan untuk menerangkan usaha DBKK dalam meningkatkan kebersihan dan pelupusan sampah yang lebih bertanggungjawab, mewujudkan kesedaran dalam kalangan penduduk kampung akan pentingnya menjaga alam sekitar dan menggalakkan penyertaan komuniti dalam menjayakan program KK Cleanup Day 1.0,” menurut kenyataan itu lagi
Di Pulau Gaya, antara kampung-kampung yang terlibat ialah, Kg. Lok Urai, Kg. Kasuapan, Kg. Pulau Gaya Asli, Kg. Lobong dan Kg. Torong Logong. Manakala kampung yang terlibat di Pulau Sepanggar ialah Kg. Pulau Sepanggar.
Setakat ini DBKK memaklumkan, maklum balas yang diterima daripada penduduk kampung-kampung terlibat adalah sangat menggalakkan, di mana rata-rata menyatakan sokongan dan kesediaan mereka untuk bersama-sama menjayakan program ini.
“Ayuh warga Bandaraya Kota Kinabalu, kita sahut seruan ini dan tunjukkan sokongan anda dengan menyertai aktiviti pembersihan persekitaran rumah masing-masing dan bersama-sama menyumbang kepada kebersihan dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan masyarakat,” tambah kenyataan itu – SABAH MEDIA / FOTO DBKK