KUALA LUMPUR — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memutuskan untuk membatalkan lesen syarikat Layang-Layang Island Resort Sdn. Bhd. [199101018586 (228897-D)] berkuat kuasa 6 Januari 2025.
Keputusan ini dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], yang memberi kuasa kepada MOTAC untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha pelancongan berlesen yang melanggar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Menurut Pesuruhjaya Pelancongan, Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman, MOTAC memandang serius sebarang pelanggaran perundangan dalam industri pelancongan demi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI terpelihara.
“Tindakan ini diambil bagi memastikan standard dan integriti industri pelancongan negara terus terpelihara serta memberikan keyakinan kepada pelancong terhadap perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
MOTAC turut mengingatkan semua pengusaha pelancongan berlesen untuk mematuhi segala syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan.