PUTRAJAYA, Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun 2025 yang berlangsung semalam menumpukan perbincangan terhadap pemerkasaan syarikat Bumiputera dalam perolehan kerajaan melalui Program mySTI serta hala tuju pelaksanaan Wakaf MARA MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan bernas serta menggerakkan prakarsa berkaitan pembangunan ekonomi Bumiputera.
“Saya memberi penegasan dan cabaran kepada ketua-ketua GLIC dan GLC supaya lebih proaktif dalam memastikan pemerkasaan syarikat Bumiputera terus menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat tersebut katanya di dalam status di Laman Facebooknya malam tadi.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa MEB merupakan platform tertinggi yang mengangkat agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.
“MEB berperanan sebagai platform utama dalam memastikan segala perancangan yang dirangka dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dapat dipantau pelaksanaannya serta mencapai keberkesanan yang diharapkan,” tambahnya.
Kerajaan komited dalam memastikan inisiatif strategik seperti mySTI dan Wakaf MARA MADANI dapat memberikan impak yang menyeluruh terhadap peningkatan daya saing syarikat Bumiputera, sekali gus memperkukuh ekonomi negara.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh barisan menteri kabinet serta ketua-ketua agensi berkaitan, yang bersama-sama merangka pendekatan bagi memperkasa ekosistem ekonomi Bumiputera selari dengan matlamat Malaysia MADANI.