KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) pada tahun ini akan memfokuskan kepada usaha membasmi kemiskinan yang masih membelenggu lapan daerah di negeri ini.
Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi menangani masalah berkenaan bagi membolehkan seluruh lapisan rakyat mampu menikmati arus kemajuan dan pembangunan yang pesat berkembang di Sabah.
“Pada tahun ini, IDS sebagai sebuah Agensi Pemikir Utama Kerajaan Negeri Sabah perlu memberikan tumpuan kepada pelaksanaan kajian strategik bagi mengenal pasti punca utama mengapa masih terdapat lapan daerah termiskin di Sabah ini.
“Daerah tersebut ialah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Institut Kajian Pembangunan Sabah di Dewan Wisma IDS di sini, hari ini.
Menurut Azizah, kajian yang dilaksanakan mestilah bersifat menyeluruh, komprehensif, dan teliti, dengan matlamat utama untuk merangka penyelesaian yang praktikal dan berkesan.
“Situasi ini bukan sahaja mencabar, tetapi juga amat menyedihkan bagi kita jika tidak ditangani segera. Justeru, IDS perlu memikul tanggungjawab ini, bukan hanya untuk membantu daerah-daerah tersebut keluar daripada senarai daerah termiskin di Malaysia, tetapi juga demi meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhannya,” ujarnya.
Hadir sama CEO IDS Datuk Dr Ramzah Dambul, Ahi Lembaga Pengarah IDS serta kakitangan IDS.
Azizah turut menyeru semua warga IDS agar segera menyediakan cadangan-cadangan penyelesaian yang bernas sebagai pelan tindakan membasmi kemiskinan itu.
“Usaha ini perlu dilaksanakan dengan segera supaya kelapan-lapan daerah ini dapat keluar daripada status termiskin, sekali gus mencipta perubahan yang bermakna kepada kehidupan rakyat di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pelan tindakan tersebut juga adalah sejajar dengan usaha memperkukuhkan ekonomi negeri sekali gus mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat.
Oleh itu, katanya, kajian-kajian yang teliti dan bersasar perlu dilaksanakan untuk mencadangkan pendekatan dan strategi yang sesuai dengan keperluan setiap daerah dan lokaliti.
“Kajian yang mengambil kira perbezaan geografi, sumber ekonomi, serta keunikan komuniti setempat ini akan membantu kita merangka langkah penyelesaian yang lebih relevan dan berkesan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
“IDS juga perlu memberi fokus kepada kajian keusahawanan yang menyeluruh dan komprehensif. Kajian ini bertujuan untuk memperkasakan usahawan sedia ada, terutama di kawasan luar bandar, dengan memberikan sokongan yang dapat meningkatkan daya saing serta taraf perniagaan mereka,” katanya.
Azizah menjelaskan, serentak itu, pihak IDS juga meneruskan gerak kerja melahirkan lebih ramai usahawan baharu dengan menyediakan semua keperluan, cabaran, dan peluang bagi para usahawan.
“Kita dapat membina ekosistem keusahawanan yang lebih mampan. Saya yakin bahawa peningkatan jumlah usahawan, khususnya di kawasan luar bandar, bukan sahaja dapat menjana pendapatan yang lebih baik untuk mereka tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di lokasi mereka beroperasi.
“Dengan usaha ini, IDS mampu memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju pembangunan ekonomi negeri yang lebih menyeluruh dan inklusif yang menjadi pemangkin kepada kemajuan Sabah yang lebih makmur, sejahtera dan “No one left behind” (tiada golongan yang tertinggal),” katanya lagi.
Tambah beliau, pihak IDS telah berjaya merealisasikan program sepanjang tahun lalu dan kecemerlangan itu akan diteruskan sepanjang tahun ini.
“Pencapaian yang diraih pada tahun lalu harus dijadikan asas untuk memperkukuhkan usaha kita pada tahun ini. Kelangsungan agenda yang bertujuan membantu negeri dan rakyat mesti diteruskan, diperkasa, dan ditingkatkan demi mencapai kemajuan yang lebih bermakna bagi masa depan negeri Sabah,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai usaha memperkasakan lagi peranan wanita di negeri Sabah melalui program dan aktiviti-aktiviti di bawah Women Leadership Initiative Committee (WLIC) sepanjang tahun ini.
Katanya, perancangan strategik yang dirangka perlu dilaksanakan dengan lancar dan berjaya dalam usaha meningkatkan peratusan penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan, sekaligus memperkukuhkan peranan wanita dalam pembangunan ekonomi, khususnya melalui keusahawanan wanita.