Kota Kinabalu : Pelajar dalam Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya di Politeknik Kota Kinabalau (PKK) dicabar agar berani tampil ke hadapan dengan idea dan inovasi baharu.
Timbalan Pengarah PKK Muhammaddin Mohd Jair berkata, ia adalah bagi membantu para pelajar untuk lebih memahami sesuatu pembelajaran secara mendalam.
Selain itu katanya, melalui ilmu TVET ianya akan dapat mendorong pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Bidang TVET yang bakal anda pelajari sepanjang pengajian ini lebih merangkumi kepada pengetahuan dan kemahiran teknikal serta mampu melahirkan graduan yang terlatih, malah berupaya mencipta pekerjaan sendiri berbekalkan kemahiran yang dimiliki.
“Manfaatkanlah kelebihan yang ada untuk mencipta masa depan yang lebih cerah demi keluarga, agama dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Transformasi Siswa Sesi II 2024/2025 di sini hari ini.
Muhammaddin berkata, para pelajar baharu PKK juga perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran asas seperti pengucapan awam, teknologi maklumat serta kemahiran lain.
Katanya, ia adalah bagi menjadikan para pelajar menjadi graduan ‘ready-to-work’ dalam memenuhi kehendak semasa industri.
“Anda juga adalah pemimpin muda yang bakal membawa negara kepada kemajuan kelak.
“Jadilah seorang pelajar yang dipenuhi dengan sifat kepimpinan yang tinggi melalui kerjasama kumpulan yang baik, merancang masa anda dengan sebaiknya serta berfikir secara kreatif dan inovatif. Persediaan ini sangat penting untuk anda aplikasikan selepas bergraduasi,” katanya.
Dalam pada itu Muhammaddin meminta agar para pelajar menggunakan saluran yang betul untuk menyalurkan aduan ataupun maklum balas.
“Saya faham terdapat banyak kekurangan yang kamu lihat di asrama. Saya dengan rendah hati memohon anak-anak di hadapan saya menggunakan saluran yang betul untuk menyalurkan aduan ataupun maklum balas.
“Kemukakan aduan kepada kami melalui sistem e-maklum balas dan media sosial rasmi PKK,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO PKK