Kota Kinabalu : Seramai 31 individu, guru dan agensi menerima Anugerah Khas Sukan dan Ko Kurikulum sempena Majlis Apresiasi Sukan dan Ko-Kurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru (SKTA) II, di sini.
Antara yang menerima anugerah khas itu termasuklah Focal Person Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Mohd Arif Tun Sakaran atas pembabitannya selaku ibu bapa, komuniti dan swasta dalam kepada pembangunan sukan dan kokurikulum sekolah di negeri ini, khususnya di sekolah berkenaan.
Anugerah disampaikan Guru Besar SK Tanjung Aru II, Siti Noorsiah Pg Abdullah dan majlis itu dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datu Asrah Datu Ambas bagi mewakili Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Sabah, Muddin Beting.
Turut menerima anugerah khas itu adalah beberapa pegawai pendidikan dari JPNS, kelab sukan dan ko kurikulum, guru SK Tanjung Aru II dan beberapa sekolah rendah sekitar Kota Kinabalu serta individu perseorangan.
Anugerah turut diberikan kepada beberapa agensi yang pernah menyumbang bagi menjayakan aktiviti sukan dan kokurikulum di sekolah itu, antaranya Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan Bank Rakyat.
Pada majlis sama, seramai 50 murid SK Tanjung Aru II turut menerima anugerah atas pencapaian masing-masing dalam bidang sukan dan kokurikulum sepanjang tahun lalu.
Terdahlu, ketika berucap, Muddin berkata adalah wajar untuk meraikan mereka yang telah berusaha bertungkus lumus bagi mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi khasnya dalam sukan dan kokurikulum.
“Sempena hari yang bersejarah ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan Syabas kepada murid-murid yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam aktiviti sukan dan kokurikulum yang disertai di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa sepanjang 2024.
“Harapan saya agar majlis ini menjadi peristiwa bersejarah dan inspirasi buat semua murid untuk lebih berdaya saing bagi mencapai kecemerlangan ke peringkat yang seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, bagi mencapai kejayaan, semua pihak harus berganding bahu dan seiring mengatur langkah bersama usaha dalam merealisasikannya.
“Kita perlu menjadikan hubungan erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan agensi kerajaan dan swasta sebagai hubungan yang berasaskan tanggungawab bersama,” katanya. – SABAH MEDIA