Lahad Datu : Para pereka fesyen terutama yang terlibat dalam rekaan baju perkahwinan digesa untuk merebut peluang yang ada untuk menampilkan budaya dan etnik di negeri ini.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Rakyat Bahagian Silam Datuk Mizma Appehdullah berkata, Sabah amat terkenal dengan kepelbagaian budaya dan etnik pelbagai kaum selain terdapat juga mereka yang berkahwin campur.
“Justeru saya menggesa para pereka fesyen khususnya yang terlibat dalam bidang perkahwinan agar menitik beratkan material dan tenunan asli serta rekaan busana berunsurkan etnik satu-satu kaum di negeri ini.
“Ini juga akan dapat mempromosikan kebudayaan Sabah kepada dunia luar menerusi rekaan yang dipamerkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam tahunan ‘Bridal Wedding Community’ (BWC) Sabah di Dewan Perdana Lahad Datu di sini semalam.
Majlis yang diadakan buat kali keempat pada tahun ini dianjurkan Niki Andaman.
Mizma berkata, peragaan pakaian perkahwinan itu berupaya mempamerkan keunikan kaum yang ada di Sabah.
Pada majlis itu, para pengusaha butik perkahwinan hadir bagi mempromosikan koleksi pakaian terkini dengan harga yang berpatutan bagi pasangan pengantin baru yang merancang mendirikan rumah tangga.
Selain itu turut diadakan persembahan dari setiap daerah dan penghargaan kepada pengusaha butik perkahwinan yang masih berkhidmat melebihi 50 tahun. – SABAH MEDIA