Kota Kinabalu : Pentadbir sekolah diingatkan untuk terus menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 bagi setiap murid tanpa sebarang bentuk pemotongan.
Focal Person Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Mohd Arif Tun Sakaran berkata, penyaluran BAP itu mampu membantu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan persekolahan anak mereka.
“Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan persekolahan kepada seluruh pelajar di Malaysia.
“Saya juga ingin menasihatkan kepada pihak sekolah agar dapat mengendalikan pengagihan bantuan berkenaan dengan baik dan mengikut kadarnya dengan kadar segera.
“Sudah tentu, BAP ini akan dapat meringankan lagi beban para ibu bapa untuk membuat persiapan kelengkapan sekolah anak mereka dan saya harap tidak ada lagi isu-isu yang dikaitkan dengan pemotongan agihan BAP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi Pra Sekolah dan Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya di sini hari ini.
Semalam, KPM dalam satu kenyataan menyatakan akan membuat agihan BAP sebanyak RM150 untuk setiap murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025, bermula 13 Januari ini.
Menurut KPM, agihan BAP sebanyak RM150 untuk pelajar Tingkatan 6 semester 2 dan murid Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Februari manakala agihan kepada pelajar Tingkatan 6 baharu akan bermula 1 Julai.
“Kerajaan MADANI memperuntukkan sejumlah RM791.25 juta khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta orang murid. Pada tahun ini, buat pertama kali inisiatif BAP akan turut diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6,” menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan agihan BAP kepada murid akan dilakukan oleh pihak sekolah menggunakan kaedah serahan tunai kepada ibu bapa (sekolah rendah) atau ibu bapa atau murid (sekolah menengah), pengkreditan ke akaun bank murid, pengkreditan ke akaun bank ibu bapa (dilaksanakan mulai 2025).
Terdahulu mengenai majlis itu, Mohd Arif berkata, pihaknya akan sentiasa bersama pihak sekolah dalam memastikan para pelajar akan terus mendapat pendidikan yang secukupnya bagi masa depan yang cemerlang. – SABAH MEDIA