HomeUtamaPolis Marin Sabah rampas minyak diesel bersubsidi bernilai RM163,500

Polis Marin Sabah rampas minyak diesel bersubsidi bernilai RM163,500

Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah berjaya merampas minyak diesel bersubsidi bernilai RM163,500 dalam satu operasi di kawasan perairan laut Safma dekat sini pada 10 Januari lalu.

Operasi rondaan menggunakan Botronda RH 52 dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Polis Marin sekitar jam 8 malam.

Minyak diesel bersubsidi yang dirampas dalam operasi di perairan laut Safma.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, rampasan itu melibatkan sebuah kapal pukat tunda bersama beberapa tangki minyak yang telah diubahsuai untuk tujuan penyeludupan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut membawa 6,000 liter minyak diesel bersubsidi yang disimpan dalam lapan tangki minyak yang telah diubahsuai.

“Penama yang berada di atas kapal gagal mengemukakan dokumen atau permit sah daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Nazri, dalam serbuan itu, pasukan telah merampas sebuah kapal pukat tunda, dua tangki minyak kapasiti 1,000 liter (2,000 liter minyak diesel), empat tangki minyak kapasiti 600 liter (2,400 liter minyak diesel) dan dua tangki minyak kapasiti 800 liter (1,600 liter minyak diesel).

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati peralatan lengkap untuk aktiviti penjualan minyak diesel turut ditemukan di atas kapal.

“Suspek dan barangan rampasan telah dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” tambah beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Enam maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Kalumpang, Semporna-Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular