Semporna : Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya memusnahkan sebuah objek bom Unexploded Ordnance (UXO) yang disyaki peninggalan bom Perang Dunia kedua sekitar jam 3.10 petang semalam.
Operasi memusnahkan bom yang ditemui di Perairan Pulau Sibuan, Semporna pada 7 Januari lalu telah telah diketuai Leftenan Komander Ghazali Soleman TLDM dan dibantu oleh 11 anggota Penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) di Lumut dan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Sandakan.
TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan operasi telah diatur gerak bagi operasi pemusnahan bom UXO bermula dari 10 Januari lalu.
“Siasatan mendapati UXO berukuran tiga kaki panjang dan satu kaki lebar itu dipercayai merupakan sebuah bom tinggalan perang dunia kedua sekitar tahun 1945 dan dipercayai seberat 500lbs (250kg).
“Bom UXO telah berjaya dimusnahkan dengan menggunakan kaedah Blow in Place (BIP), iaitu suatu kaedah pemusnahan di lokasi penemuan dengan mengambil langkah-langkah keselamatan yang tertinggi.
“Tiada sebarang kerosakan harta benda dan alam sekitar marin dilaporkan,” menurut kenyataan itu di sini semalam.
Hasil ‘Post Blast Investigation’ (PBI), Penyelam Ranjau TLDM mengesahkan UXO berkenaan adalah jenis Aerial Bomb iaitu sejenis bom yang dilepaskan oleh pesawat udara.
TLDM turut mendapat kerjasama dari agensi lain iaitu ESSCOM, ATB2 dan IPD Semporna yang menyediakan kawalan keselamatan dengan menugaskan bot-bot APMM, PPM, ATB2 dan Taman-taman Laut Sabah.
Pada 7 Januari lalu, Taman-Taman Sabah dalam satu kemaskini di Facebook menyatakan Substesen Pulau Sibuan, Taman Marin Tun Sakaran, Semporna ditutup berikutan penemuan objek yang disyaki bom Perang Dunia Kedua.
Walau bagaimanapun pulau-pulau lain di dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran dibuka seperti biasa kepada lawatan pelancong. SABAH MEDIA / FOTO TLDM