Kota Kinabalu: Seramai 496,541 pelajar di negeri ini akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) melibatkan peruntukkan lebih RM74 juta yang mula diagihkan bermula hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Ruji Ubi berkata, bantuan yang akan diagihkan ke 1,295 buah sekolah di negeri ini mampu membantu meningkatkan motivasi murid untuk terus membina kecemerlangan diri.
“Saya menyeru ibu bapa atau penjaga dan murid yang menerima manfaat BAP 2025 untuk meningkatkan motivasi murid untuk terus membina kecemerlangan agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
“Saya yakin dan percaya bahawa bantuan ini mampu memastikan setiap murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk memulakan sesi persekolahan dan sebagai dorongan untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura BAP 2025 bagi negeri Sabah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin.
Ruji berkata, pihaknya meminta agar semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah di seluruh negeri dapat menyalurkan BAP kepada pelajar sebelum sesi persekolahan 2024 berakhir.
“Saya telah mengingatkan agar tidak ada satu sen pun dibenarkan oleh mana-mana pihak, khususnya pihak sekolah untuk membuat potongan, RM150 bagi setiap pelajar daripada darjah satu hingga tingkatan enam ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya.
“Jadi, pesan tersebut telah disampaikan kepada semua pihak daripada peringkat Jabatan Pendidikan Negeri, Pegawai Pendidikan Daerah dan juga pengetua-pengetua dan guru besar di seluruh negara.
“Sekali lagi saya ulang, tiada mana-mana potongan dibenarkan terhadap bantuan awal persekolahan ini untuk apa-apa tujuan pun kepada semua murid yang menerima bantuan awal persekolahan,” katanya.
Ruji berkata, ibu bapa boleh membuat laporan segera sekiranya terdapat pemotongan BAP yang diterima ke PPD atau Jabatan Pendidikan Negeri.
“Dalam tempoh seminggu ini, dalam tempoh lima hari ini kita akan memantau dari masa ke semasa,” katanya. – SABAH MEDIA