TAWAU: Dua individu lelaki dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM200,000 di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini selepas mengaku bersalah kerana memiliki tenggiling hidup, spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya.
Kedua-dua individu Azlan, 34, seorang warga tempatan, dan Artan Asrianto, 24, warga Indonesia membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Menurut pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh ditangkap pada 4 Januari 2025, kira-kira pukul 11.40 pagi, di tempat letak kereta berdekatan Pusat e-Khidmat, kawasan pasaraya Servey di Semporna. Mereka ditemui memiliki empat ekor tenggiling hidup yang dipercayai daripada spesies manis javanica, yang tersenarai dalam Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 13 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 sebagai haiwan dilindungi.
Sehubungan dengan itu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM200,000 ke atas setiap tertuduh. Jika gagal membayar denda, kedua-dua tertuduh akan dipenjara lagi selama 12 bulan.
Kes ini melibatkan tuduhan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki haiwan tersebut tanpa kebenaran yang sah. Mereka didakwa di bawah Seksyen 41(4)(a) enakmen yang sama yang memperuntukkan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Primus Lambut, sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.