Kota Kinabalu: Pulau Sibuan yang ditutup sementara kepada pengunjung pada 7 Januari lalu selepas penemuan objek disyaki bom Perang Dunia Kedua akan dibuka semula pada Rabu ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata, pulau itu akan dibuka semula setelah semua langkah keselamatan selesai dilaksanakan.
Katanya, arahan penutupan sementara pulau tersebut bermula apabila dua orang pengawal pantai Taman-Taman Sabah (TTS) yang bertugas di pulau berkenaan menjumpai objek yang menyerupai sebutir bom lama ketika melakukan aktiviti pemantauan dan pembersihan kawasan snorkeling di pantai Pulau Sibuan.
“Pengurus Taman, Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) telah dimaklumkan mengenai penemuan tersebut dan laporan polis telah dibuat pada hari yang sama. Pegawai Penempatan Pos Pulau Sibuan 10 RAMD, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah dimaklumkan tentang perkara tersebut.
“Tujuan pihak TTS bertindak menutup sementara Pulau Sibuan daripada sebarang aktiviti pelancongan serta merta adalah untuk memastikan keselamatan para pelawat dan staf yang bertugas di pulau tersebut terjamin.
“Walau bagaimanapun aktiviti pelancongan di pulau-pulau lain di TMTS seperti Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mantabuan berjalan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, objek yang telah dikenalpasti sebagai bom lama atau ’unexploded ordnance’ (UXO) itu telah berjaya dimusnahkan oleh penyelam ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Sabtu lalu jam 3.10 petang.
“Justeru itu, Pulau Sibuan akan dibuka semula kepada para pelancong pada 15 Januari ini sebaik sahaja pihak polis dan pasukan keselamatan serta TTS selesai membuat kerja-kerja pembersihan dan penggumpulan sisa-sisa bom,” katanya. – SABAH MEDIA