HomeUtamaSARA dibayar esok, diperluas ke Sabah dan Sarawak

SARA dibayar esok, diperluas ke Sabah dan Sarawak

Read Time:2 Minute, 6 Second

Kota Kinabalu : Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan mula disalurkan bermula esok melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, penyaluran SARA pada tahun ini melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke negeri Sabah dan Sarawak berbanding hanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun ini berbanding RM1,200 pada tahun lalu.

“Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac ini. Manakala mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.

“Mekanisme yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” menurut kenyataan itu di sini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SARA merupakan pendekatan bantuan bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. 

Katanya, penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana mekanisme tersebut memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas.

“Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak. Kerajaan MADANI komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah yang mudah difahami dan digunakan oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, penambahbaikan kepada SARA ini merangkumi sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lalu.

Selain daripada itu, 5.4 juta penerima STR turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025. 

Ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih. Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan. 

Golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan.

Di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024. 

Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barang makanan asas. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berswafoto dengan sebahagian daripada 1,000 pelajar yang hadir sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa dan Mahasiswi Institut Pengajian Tinggi di Setia City Convention Centre, Setia Alam di sini, malam tadi.
PendapatUtama

Prestasi Siswazah Malaysia 2023: Peningkatan & Cabaran di Pasaran Buruh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular