HomeUtamaAirAsia sasar terbangkan lima juta penumpang ke Sabah pada tahun ini

AirAsia sasar terbangkan lima juta penumpang ke Sabah pada tahun ini

Read Time:2 Minute, 6 Second

Kota Kinabalu : Syarikat penerbangan AirAsia menyasarkan untuk menerbangkan lima juta tetamu ke Sabah melalui Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tawau pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group Bo Lingam berkata sasaran itu hampir dua kali ganda daripada 3.7 juta ketibaan yang direkodkan pada tahun lalu.

Katanya sasaran pertumbuhan ini merangkumi pelancong domestik dan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan AirAsia sebagai pemacu kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya bagi mencapai matlamat ini, rancangan pengembangan AirAsia bagi tahun ini merangkumi peningkatan rangkaian sedia ada yang terdiri daripada 27 laluan, termasuk 13 laluan domestik dan 14 laluan antarabangsa ke dan dari Sabah.

“Penambahbaikan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan 35 peratus dalam jumlah penerbangan kepada lebih 51,500 penerbangan setahun serta pertumbuhan 43 peratus dalam kapasiti tempat duduk kepada 9.8 juta tempat duduk setahun.

“Pada tahun lalu, AirAsia memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sabah bagi mencapai sasaran lebih tiga juta pelawat dengan menerbangkan sebahagian besar daripada jumlah tersebut dan memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terkemuka yang menyokong kesalinghubungan dan pertumbuhan pelancongan negeri.

“Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatukan ekosistem pelancongan negeri, syarikat penerbangan ini sedang mengadakan siri jelajah di seluruh Sabah untuk mengeratkan kerjasama dan menyelaraskan usaha bagi menambah baik sektor pelancongan utama seperti penginapan, pengangkutan dan kemudahan akses, serta meneroka pelaburan strategik untuk memajukan infrastruktur pelancongan negeri,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, Sabah adalah pasaran penting dalam rangkaian AirAsia dan pihaknya berbangga menjadi syarikat penerbangan terkemuka yang menghubungkan rantau ini ke Malaysia dan pasaran antarabangsa utama.

Katanya, sasaran bagi tahun ini adalah untuk menerbangkan lima juta tetamu dan komitmen ini disokong oleh pelaburan besar dalam kapasiti operasi untuk meningkatkan penerbangan dan usaha pemasaran bersasar.

“Dengan peningkatan ketibaan pelawat, inisiatif-inisiatif ini berpotensi mewujudkan impak pengganda ekonomi yang besar kepada rantau ini dan perniagaan tempatan, didorong oleh rantaian bekalan yang kukuh dan peningkatan perbelanjaan pelancong,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Julius Jimat berkata rangkaian luas AirAsia dan pelaburan yang berterusan telah memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pintu masuk utama untuk pelancong domestik dan antarabangsa.

Katanya pihaknya teruja untuk meneruskan kerjasama itu bagi mempertingkatkan tawaran negeri ini dan memastikan bahawa semua pihak berkepentingan bersedia untuk memenuhi peningkatan ketibaan pelancong hasil daripada daripada inisiatif-inisiatif AirAsia.

Pada tahun lalu AirAsia dan STB memeterai kerjasama strategik selama lima tahun untuk meningkatkan industri pelancongan negeri ini dengan memperluaskan rangkaian udara di seluruh Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan memperkembang rangkaian ke ASEAN, Asia Utara, dan Oceania dari tahun 2024 hingga 2028 – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Utama

Amaran ribut petir, hujan lebat di Sabah sehingga 7 malam ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular