Lahad Datu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah kapal pukat jerut bilis di sekitar perairan Kunak, semalam.
Pengarah Maritim Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, kapal itu ditahan di kedudukan 0.1 batu nautika selatan Pulau Maganting lebih kurang jam 5.40 petang oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang terlibat dalam operasi yang dijalankan.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati, kapal pukat jerut bilis dikendalikan empat warga tempatan berusia 31 hingga 59 tahun bersama hasil tangkapan seberat dua kilogram.
Beliau berkata kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kapal tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu memukat kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan terhampir dan telah melakukan kesalahan yang sama pada tahun 2024 di mana kapal tersebut telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 .
“Kesemua kru, bot dan hasil perikanan dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Nilai tangkapan adalah lebih kurang RM90,000,” katanya.
Beliau berkata Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA