Penampang: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) perlu memastikan aduan pengguna diselesaikan sebaik mungkin termasuk aduan gangguan bekalan dan tekanan air rendah yang dialami pengguna terutama di Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, gangguan bekalan air dan tekanan air rendah yang dihadapi pengguna di ketiga-tiga daerah itu kini dilaporkan beransur pulih.
Katanya, ia adalah hasil langkah penstabilan bekalan air yang dilaksanakan JANS.
“Saya meminta pihak Jabatan Air untuk sentiasa ‘alert’ dari semasa ke semasa mengenai isu tekanan air ini, khususnya pada musim-musim perayaan yang mana pada musim perayaan, musim cuti penggunaan air dijangka akan lebih meningkat,” katanya.
Beliau ditemui ketika meninjau kerja pelaksanaan Projek Urgent Water Supply Scheme (UWSS) di Kasigui, di sini, semalam.
Katanya yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, terdapat tiga punca utama gangguan bekalan atau masalah tekanan air rendah yang dialami pengguna di tiga buah daerah berkenaan pada ketika ini.
“Antaranya adalah disebabkan satu, NRW (air tidak berhasil) yang masih berada dalam keadaan yang agak tinggi. Kedua, daripada NRW itu, ada paip yang pecah, yang tidak disedari dan baru dijumpai apabila ada aduan yang dilakukan.
“Ketiganya, pihak Jabatan Air juga sedang membuat koordinasi untuk membuat ‘water balancing’ dan ‘pressure balancing’ di sekitar kawasan Pantai Barat Selatan ini. Jadi, itu juga menimbulkan sedikit gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya. – SABAH MEDIA