Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu: Sebanyak 65 jawatan kosong akan dibuka bagi mengisi kekosongan jawatan guru Tadika Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS); Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) pada tahun ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam berkata, pengambilan itu dijangka akan dapat membantu mengatasi kekurangan tenaga pengajar di institusi-institusi di bawah JHEAINS.
Katanya, iklan jawatan tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat dan diikuti sesi temu duga untuk memilih calon yang layak.
“Pada ketika ini kita masih ada kekurangan guru dan kita yakin kerajaan melalui JHEAINS telah pun berusaha untuk menambah guru-guru kita berdasarkan kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Tadika JHEAINS Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah JHEAINS Datuk Jumain Abdul Ghani.
Ruslan berkata, JHEAINS turut memperkenalkan Sekolah Integrasi yang menyelaraskan pendidikan akademik dan agama di satu lokasi.
Katanya setakat ini, sekolah integrasi telah dilaksanakan di Putatan dan Sembulan, dan yang terbaru tahun ini Tambunan, Sook, dan Benoni.
Beliau turut memaklumkan perancangan untuk memastikan setiap daerah di Sabah memiliki sekurang-kurangnya sebuah sekolah integrasi pada masa hadapan.
“Dengan dasar dan perancangan strategik ini, JHEAINS optimis dapat memperkukuhkan pendidikan Islam di negeri Sabah,” katanya – SABAH MEDIA