Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) berjaya melancarkan Kurikulum Standard Tadika JHEAINS (KSTJ) yang akan mula diguna pakai pada sesi pembelajaran bulan depan.
Pengarah JHEAINS Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, KSTJ yang dilaksanakan berdasarkan falsafah pendidikan Kebangsaan itu telah dihasilkan dengan kerjasama beberapa pihak yang berpengalaman.
Katanya, ia termasuklah bersama tiga pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), enam pensyarah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya dan seorang pegawai dari Jabatan Kemas Daerah Putatan.
“Buku Kurikulum ini tidak hanya akan menjadi panduan kepada guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga menjadi satu dokumen yang dapat memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang seimbang, berteraskan nilai-nilai murni dan keilmuan yang relevan dengan perkembangan semasa.
“Dengan adanya buku kurikulum ini, saya percaya ia akan membantu memacu Tadika JHEAINS ke arah kecemerlangan dalam menyediakan pendidikan yang holistik dan berkualiti kepada anak-anak kita di peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Tadika JHEAINS peringkat negeri Sabah 2024 di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam bagi mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Jumain berkata, kandungan silibus KSTJ itu dilihat amat baik dan sesuai diguna pakai dalam pembelajaran pelajar tadika JHEAINS di seluruh Sabah.
“KSTJ ini juga merupakan satu standard atau jenama kepada pihak JHEAINS itu sendiri. Sebelum ini kita menggunakan silibus dan kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan alhamdulillah kita mengorak langkah tersendiri, sesuai dengan falsafah pendidikan peringkat kebangsaan, kita buka kurikulum kita sendiri
“Kurikulum ini tidak banyak beza cuma saja kita berbangga kerana dikeluarkan oleh kerajaan negeri sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Jumain merakamkan penghargaan kepada panel penggubal, pegawai pendidikan dan Penyelia Tadika serta guru-guru yang terlibat dalam menghasilkan KSTJ. – SABAH MEDIA