Bristol, UK – Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah melancarkan Bandar Baharu Brabazon di Bristol, salah satu pembangunan semula kawasan lapang terbesar di UK.
Projek ini, yang dimajukan oleh Kumpulan YTL dari Malaysia, diiktiraf sebagai bandar baharu paling lestari di negara itu.
Bandar Baharu Brabazon yang bercirikan konsep “kejiranan 15 minit” merangkumi:
6,500 rumah baharu berkualiti tinggi, serta Taman bandar seluas 15 ekar, yang terbesar di wilayah Barat Daya dalam lebih 50 tahun.
YTL Arena Bristol, sebuah kompleks hiburan karbon neutral berkapasiti 19,500 tempat duduk dan t iga sekolah baharu dan ruang komersial canggih untuk menyokong lebih 30,000 peluang pekerjaan.
Semasa majlis pelancaran, Perdana Menteri turut diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Zafrul, Setiausaha Negara UK untuk Perniagaan dan Perdagangan Jonathan Reynolds, serta Pengerusi Eksekutif YTL Group, Tan Sri (Sir) Francis Yeoh.
Projek bernilai kira-kira £6 bilion ini adalah pelaburan strategik Kumpulan YTL yang pertama kali memasuki UK pada 2002 melalui pengambilalihan Wessex Water. Projek ini menjadi simbol kerjasama ASEAN-UK yang kukuh, dengan Malaysia memainkan peranan utama dalam mempromosikan integrasi ekonomi serantau.
Menurut Dato’ Seri Anwar Ibrahim: “Pelaburan syarikat Malaysia seperti YTL bukan sahaja memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi, malah mencerminkan komitmen kita untuk memupuk perkongsian yang mendorong inovasi dan kesejahteraan global.”
Tambah Anwar lagi, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan menjadi saluran kritikal untuk mengembang dan memudahkan pelaburan serta perdagangan antara Malaysia dan UK.
Menurutnya, usaha itu dapat dilaksanakan susulan langkah kedua-dua negara menyertai perjanjian tersebut.
“Malah, saya memilih untuk merakamkan penghargaan saya kepada Perdana Menteri UK (Keir Starmer) kerana menyertai perjanjian CPTPP.
“Ia merupakan komitmen politik yang serius bagi UK dan Malaysia, memberi tumpuan kepada asas ekonomi demi kepentingan kedua-dua negara untuk menggalakkan perdagangan bebas,” kata beliau.
Malaysia meratifikasi CPTPP pada Oktober 2024, menyertai Peru, Jepun, Singapura, Chile, New Zealand dan Vietnam yang berbuat demikian, manakala UK menyertai secara rasmi pada Disember tahun lepas.
Di bawah rangka kerja ini, tarif bagi produk negara anggota akan dikurangkan kepada sifar.