HomeUtamaSabah catat kejayaan besar, kontrak RM2 bilion dianugerahkan kepada vendor tempatan OGSE

Sabah catat kejayaan besar, kontrak RM2 bilion dianugerahkan kepada vendor tempatan OGSE

Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak & Gas (OGSE) di Sabah mencatat kejayaan besar apabila PETRONAS dan syarikat-syarikat minyak & gas menganugerahkan kontrak bernilai RM2 bilion kepada vendor Sabah, termasuk RM1 bilion dalam negeri Sabah sepanjang tahun 2024.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti kerjasama erat antara Kerajaan Negeri melalui SMJ Energy dan PETRONAS dalam memperkukuhkan penyertaan tempatan serta membangunkan kepakaran rakyat Sabah.

Sebanyak 88 vendor tempatan berjaya memperoleh kontrak dan pesanan pembelian sepanjang tahun lalu. Empat syarikat Sabah mencatat pencapaian membanggakan apabila memenangi projek-projek kompleks seperti Perkhidmatan Berterusan Telaga Bersepadu (IWCS) dan Perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembinaan, Pengubahsuaian (MCM), serta Penyambungan dan Pentauliahan (HUC) luar pesisir.

Hajiji turut menekankan kepentingan Program Bimbingan Sabah, inisiatif yang melibatkan PETRONAS, Kerajaan Sabah, dan persatuan industri, dalam memperkasakan tenaga kerja tempatan.

“Program ini bukan sahaja memberi rakyat Sabah kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan, malah memperkukuhkan barisan vendor tempatan yang berkualiti untuk memastikan masa depan industri yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun dalam majlis peringatan vendor OGSE Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji juga memuji usaha Majlis Kandungan Tempatan Sabah yang ditubuhkan pada Mei 2023 di bawah pimpinan Pengarah Eksekutif SMJ Energy, Terry Biusing. Majlis tersebut berperanan menyelesaikan cabaran industri, memupuk kerjasama antara pihak berkepentingan utama, dan membuka peluang untuk meningkatkan keupayaan syarikat tempatan.

Dalam usaha meningkatkan penyertaan rakyat Sabah dalam industri ini, Kerajaan Negeri komited mengutamakan pengambilan tenaga kerja tempatan.

“Saya menyeru pihak industri melabur dalam latihan dan pembangunan kemahiran. Ini adalah prinsip asas agenda pembangunan tempatan kami,” tegas Hajiji.

Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Sabah (SOGSC), Datuk Ts. Harris Anuar Tan, memuji kerjasama antara Kerajaan Negeri, PETRONAS, SMJ Energy, dan SOGSC, yang berjaya memperkasakan perniagaan tempatan dan membuka peluang kepada syarikat Sabah untuk memenangi tender bernilai tinggi.

Presiden Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS), Mohd Safian Saludin, pula menyatakan bahawa penguatkuasaan keperluan tender baharu oleh SMJ Energy telah meningkatkan penyertaan tempatan, mencipta peluang pekerjaan, dan memperkukuhkan pemindahan ilmu.

Sementara itu, penasihat SOGSC, Datuk Willie Ng, melaporkan peningkatan ketara dalam bilangan syarikat berasaskan Sabah daripada 263 pada 2022 kepada 475 pada 2024, dengan syarikat aktif meningkat daripada 79 kepada 150. Perkembangan ini berjaya mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu.

Melalui SMJ Energy, Kerajaan Negeri Sabah yakin dapat mendorong hasil kandungan tempatan yang positif, memacu pembangunan industri, dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

SKMM Kini Berhubung Dengan TikTok Ekoran isu Sekatan Akaun Organisasi Media

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular