HomeUtamaPemandu maut tertimbus selepas lori treler terjunam dalam gaung

Pemandu maut tertimbus selepas lori treler terjunam dalam gaung

Read Time:1 Minute, 5 Second

RANAU: Seorang lelaki berusia 30 tahun maut tertimbus selepas lori treler yang dipandunya membawa muatan tiang elektrik (konkrit) terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kampung Nabutan, Ranau pada pagi Khamis.

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa tertimbus di bawah lori treler yang terbabas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8:41 pagi.

Katanya, sepasukan Bomba dan Penyelamat Ranau (BBP Ranau) yang tiba di lokasi kejadian pada jam 9:12 pagi itu mendapati lori tersebut terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter, dengan pemandu tersepit di bawah lori.

“Pasukan bomba segera melaksanakan operasi menyelamat dengan menggunakan peralatan khas untuk menggali tanah bagi mengeluarkan mangsa. Namun, usaha awal tersebut menemui kegagalan.

“Pada jam 6:00 petang, bantuan kren berat dari Kota Kinabalu tiba, namun tiga percubaan mengangkat lori itu juga tidak berjaya. Pasukan bomba kemudian mengubah strategi dengan memindahkan lebih 60 batang tiang simen yang menghalang proses penyelamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.50 pagi. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3:12 pagi.

RELATED ARTICLES
Utama

SKMM Kini Berhubung Dengan TikTok Ekoran isu Sekatan Akaun Organisasi Media

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular